The great place to get up-to-date with the latest technology.

10 Tips Kekal Selamat di Alam Siber Pada Musim Cuti Ini



“Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.”Pepatah yang relevan sepanjang zaman ini wajar diteliti aplikasinya dalam kehidupan kita termasuk untuk kehidupan di dunia talian.Menurut statistic daripada Cyber999 Help Centre,Cyber Security



Malaysia,pada tahun 2009 sahaja terdapat sebanyak 3,564 kes jenayah siber telah dilaporkan.Untuk tahun 2010 pula,sebanyak 8,090 kes diterima sementara daripada Januari sehingga September tahun ini sebanyak 11,930 kes yang meliputi 4,175 kes penipuan,3,425 kes kod berniat jahat dan 2,345 kes pencerobohan telah dilaporkan.


Melihatkan angka ini tidakkah kita merasakan implikasi peningkatan jenayah siber itu dekat dengan kita? Jika dahulu kita sering kali digemparkan dengan penjenayah yang bertopeng dan bersenjata api,tetapi sekarang kita perlu bersedia dengan ‘jenayah baru’ yang lebih senyap dan licik serta pelakunya digelar penjenayah siber boleh jadi daripada seluruh pelosok dunia atau mungkin juga ia individu di sebelah kita.


Jenayah siber ini juga boleh berlaku tidak mengira masa dan musim.Namun,masa-masa seperti musim cuti misalnya,jenayah siber lazimnya digandakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk memancing mangsa yang menggunakan musim cuti untuk melayari Internet dengan lebih kerap.Trend melayari Internet pada masa senggang membuatkan kita lebih selesa membeli belah secara dalam talian apabila tidak sibuk (bercuti),berurusan dengan perbankan dalam talian,berkomunikasi dengan rakan melalui laman sosial ataupun e-mel,memuat turun hiburan seperti movie dan lagu serta pelbagai lagi.Bukan menakutkan,tetapi aktiviti yang kelihatan seperti santai dan menyeronokkan ini boleh terganggu dengan jenayah siber.Sedar atau tanpa disedari,anda mungkin mangsa.



Oleh sebab itu,jangan biarkan aktiviti anda ketika musim cuti berubah menjadi mimpi ngeri yang tiada kesudahan.Antara kes-kes yang biasa didengari adalah kes kecurian identiti,pencerobohan computer peribadi misalnya spyware ataupun scanner,penipuan melibatkan kod berbahaya (malware),mesej remeh (spam),capaian tidak sah ke atas sistem,pengintipan,judi siber,menyalin perisian tidak sah (copyright),pornografi serta penyebaran virus.


Justeru,apakah yang patut kita lakukan bagi mencegahnya? Bersama artikel ini disediakan 10 tip kekal selamat di alam siber pada musim cuti.Semoga anda beroleh manfaatnya.



1. Lindungi komputer anda dengan perisian keselamatan


Jangan ketepikan aspek keselamatan tambahan apabila melayari Internet pada musim cuti ini.Pasang Firewall peribadi dan perisian anti-virus untuk melindungi computer anda daripada Malwares dan penggodam.Gandakan imbasan pada musim cuti.Selain itu,pastikan perisian keselamatan,sistem operasi dan pelayar Internet anda sentiasa dikemas kini.banyak Malware baru yang digandakan dalam masa seperti ini.


2. Terus padamkan maklumat rahsia


Anda perlu terus log out setelah selesai melakukan transaksi ketika melayari laman perbankan.Perlu diingatkan,padam semua cache dan history transaksi selepas log keluar bagi pemadaman maklumat.Bukan sahaja pada musim cuti,tetapi ia harus dilakukan pada setiap masa.

3. Teliti dengan mesej spam

Jangan berikan maklumat peribadi anda sewenang-wenangnya.Selain itu,jangan buka lampiran dan mengklik pautan dalam e-mel tanpa memikirkan pengirimnya serta elakkan memajukan e-mel mesej berantai.Sewaktu musim cuti,lazimnya kotak e-mel kita akan diserang dengan pelbagai e-mel percutian percuma,tawaran hadiah sempena musim cuti akhir tahun dan banyak lagi.Nampak mengujakan tetapi itu adalah perangkap!

4. Titik beratkan sekuriti peribadi anda ketika beli belah dalam talian


Pembayaran menggunakan kad kredit adalah kaedah transaksi paling sesuai kerana teknologi enkripsi dan validasi yang digunakan adalah antara yang paling selamat.Pastikan anda menyimpan cetakan resit dan pengesahan transaksi ataupun pengesahan pembelian.Jangan terlalu asyik membeli-belah dengan kad kredit anda,sehingga lupa dengan bahaya yang mendatang.Sentiasa awas dengan permintaan yang mencurigakan.Jika tidak pasti,hubungi pusat kad kredit anda.


5. Awas dengan spyware


Spyware merupakan perisian yang melakukan pengiklanan ‘pop-up’,mengumpul meklumat peribadi atau menukar tetapan komputer tanpa anda sedari.Ia bertujuan mengumpul maklumat mengenai anda.Oleh itu,anda perlu peka dengan aktiviti ganjil komputer anda.Komputer tiba-tiba terpadam dan berhenti,muncul bar alatan baru pada penyemak imbas serta kelihatan iklan atau skrin pop up walaupun semasa anda tidak disambungkan ke web.Iklan ‘pop up’ tawaran musim cuti sekolah itu terlalu menarik.Pasti ada sesuatu yang tidak kena.Tanamkan sifat berhati-hati.


6. Kata laluan laman web penting


Kenapa tidak pada musim cuti ini anda tidak mengambil masa untuk menukar kata laluan.Menggunakan kata laluan sekurang-kurangnya lapan aksara,termasuk kombinasi nombor dan symbol.Kebarangkalian kata laluan anda dicerobohi adalah tinggi jika anda sering menggunakan maklumat peribadi dan sebarang frasa berkaitan anda.Bina sesuatu yang sukar diteka.



7. Berhati-hati dengan laman sosial


Anda perlu merahsiakan kesemua maklumat peribadi atas aspek keselamatan dan jangan sekali-kali menggunakan nama sebenar dan gunalah nama samara yang tidak melambangkan langsung tentang diri anda.Sentiasa berhati-hati dan baca terma syarat,tatacara kelakuan dan penyataan privasi yang dinyatakan pada tapak bual sebelum anda menyertai laman tersebut.Jangan berbual dengan sembarangan orang yang mengajak anda melakukan sebarang aktivit pada musim cuti yang kedengaran amat menyeronokkan tetapi anda tidak mengenali individu tersebut.Tidakkah terlalu ganjil jika mereka meminta semua maklumat kad kredit anda atas alasan pembayaran secara talian.Hati-hati.


8. Amalkan pengesahan keselamatan sebelum muat turun


Periksa setiap perisian atau pemacu (thumbdrive/external hard disk/CD) yang anda mahu sambungkan kepada komputer anda.Pastikan bebas daripada virus sebelum dilanjutkan dengan tindakan seterusnya.Kadangkala peralihan daripada satu komputer ke komputer yang lain meningkatkan risiko.


9. Peka dengan kegiatan phishing

Jenayah phishing dijalankan menerusi laman web yang sangat menyerupai laman web asli tetapi dengan URL yang telah diubah suai.Apabila anda menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian seperti Maybank2u,CIMB Click ataupun sebagainya,pastikan URL bermula dengan https:// dan bukannya http://.Sentiasa peka dengan keselamatan laman web perbankan tersebut dan jika ada yang mencurigakan terus buat laporan.

10. Kawal kegiatan beli belah dalam talian anda

Jika anda gemar membeli belah dalam talian,tidak salah tetapi hadkan kepada laman web yang menggunakan piawaian keselamatan terkini seperti yang memaparkan penggunaan SSL (Secure Socket Layer), iVEST dan tandatangan digital.

Tidak salah berada di talian lebih kerap pada musim cuti ini.Faktor kewangan dan keadaan boleh menjadi penghalang untuk anda menikmati cuti di luar.Internet juga platform yang menyeronokkan untuk menghabiskan musim cuti.Namun,kekalkan keselamatan dan privasi anda di alam maya tidak kira masa kerana jenayah siber merebak dengan pantas bak virus yang disebarkan melalui udara.Mangsanya tidak kira siapa serta di mana anda berada.Anda boleh jadi yang seterusnya!

0 comments: