The great place to get up-to-date with the latest technology.

Seksualiti Merdeka punyai agenda tersembunyi

KANGAR - Penganjuran program Seksualiti Merdeka yang dibatalkan hasil bantahan umat Islam seluruh Malaysia mempunyai agenda tersembunyi golongan tertentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, penganjuran program yang menggalakkan hubungan seks bebas dan luar tabii tidak dapat diterima masyarakat di seluruh negara kerana tiada mana-mana agama sekalipun membenarkan hubungan songsang dijadikan trend dalam kehidupan seharian.

Beliau yakin ada isu lain yang akan ditimbulkan golongan berkenaan dengan motif tertentu untuk merosakkan peribadi belia dan golongan remaja di negara ini.

“Sejak kebelakangan ini, kita boleh mengesan terdapat pelbagai usaha ‘underground’ pihak tertentu bertujuan merosakkan akhlak belia Islam seperti gerakan murtad, perjuangan menuntut hak liberalisme dan yang terbaru, program Seksualiti Merdeka.

“Jika diperhatikan semula pokok permasalahan ini, kita dapat lihat semua isu ini dibangkitkan oleh puak sealiran. Jika tindakan tegas tidak diambil, lebih banyak golongan sebegini akan timbul untuk menghancurkan masa depan generasi muda kita,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri 2011 di Dewan Warisan semalam.

Md Isa berkata, Kerajaan Negeri turut mengecam tindakan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga mempertahankan penganjuran program Seksualiti Merdeka dan menyifatkan tindakan bekas Presiden Majlis Peguam Negara itu menyokong sebarang aktiviti liberalisme akan mengakibatkan masalah sosial di negara ini menjadi lebih parah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memantau sebarang bentuk program yang hampir atau mirip Seksualiti Merdeka dengan ketat dan meminta agensi penguatkuasaan terlibat meningkatkan pengawasan di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, saya yakin tiada rakyat Perlis yang akan terlibat secara langsung dalam program sebegini memandangkan negeri ini masih lagi kuat mempertahankan budaya tradisional setiap kaum yang diwarisi dari turun temurun.

“Gerakan liberalisme ini perlu dibanteras dari peringkat akar umbi lagi agar virus ini tidak akan merebak ke seluruh negara,” katanya.

Source : SinarHarian

0 comments: