The great place to get up-to-date with the latest technology.

Kos servis kereta tinggi,sesuatu yang 'menyakitkan'






KUALA LUMPUR, 10 Nov - Bila Ahmad (bukan nama sebenar) membawa keretanya untuk khidmat servis, ahli perniagaan itu sememang menjangkakan kosnya bukan murah namun agak terperanjat bila ditunjukkan bil lebih RM600.
"Mereka tunjukkan senarai yang diperlukan untuk servis penuh dan selepas menghitung jumlahnya ialah RM640," katanya semasa ditemui di sebuah pusat servis kereta di sini baru-baru ini.

Bila ditanya, pengurus pusat servis itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata: "Bila menghantar kereta untuk servis, adalah penting untuk mengetahui servis yang diperlukan". Ada bengkel yang hanya mengenakan bayaran untuk minyak enjin serta turas minyak dan ada pula yang menjalankan servis penuh bergantung kepada berapa kilometer jauh kenderaan telah bergerak."Bengkel yang bagus akan mengikut senarai keperluan servis dan akan memberi anda satu salinan senarai sebagai bukti tentang kerja-kerja yang dijalankan," kata Tan.



BUKU SERVIS

Menurut Tan, buku panduan servis yang dikeluarkan pembuat kereta adalah petunjuk yang terbaik bagi keperluan servis kereta. "Jenis servis kereta yang diperlukan bergantung kepada bagaimana anda mengguna kereta," kata Tan yang juga ketua mekanik di bengkel di mana Ahmad menghantar keretanya untuk khidmat servis. Katanya, bil yang ditunjuk adalah untuk harga yang dipersetujui dan tidak melebihi jangkaan kos. "Kerja dan barang yang ditukar semua diperinci.

Buku rekod servis juga perlu dicop dengan cop bengkel. "Bengkel servis kenderaan yang bagus akan memberitahu anda akan barang atau bahagian yang perlu ditukar dan bukan mengambil langkah untuk menukarnya dengan segera tanpa pengetahuan tuan punya kenderaan. "Mereka akan memberitahu bila bahagian itu perlu ditukar dan ini bergantung bagaimana anda menggunakan kereta". Kata Tan, jika kereta dibawa untuk servis di bengkel yang bukan dalam rangkaian bengkel pengeluar kereta, maka tuan punya perlu memastikan servis itu dijalankan mengikut jadual dan barang yang diguna adalah mengikut keperluan pembuat kereta." "Anda perlu ada rekod bagi memberitahu pembuat kereta yang anda telah menepati keperluan servis," kata beliau lagi.

PENJAGAAN PENCEGAHAN

Ramai pemilik kenderaan mengadu tentang kos tinggi pembaikan kereta pada masa kini. Menurut Tan, kos menjaga dan membaiki kenderaan sememangnya mahal terutama bila komponen yang penting gagal berfungsi. Komponen seperti enjin, transmisi, injektor minyak dan konverter katalitik, adalah mahal untuk diganti tidak kira siapa yang menukarkannya. Menurut beliau lagi, bil membaiki kereta yang tinggi adalah sesuatu yang 'menyakitkan' kepada setiap pemilik kenderaan dan adalah sesuatu yang cuba dielakkan. "Lagi lanjut usia kereta itu, lagi mahal kos untuk membaikinya.

"Penjagaan pencegahan bagi kenderaan seperti penukaran minyak enjin, turasan minyak dan pemeriksaan berkala boleh membantu mengurangkan risiko kos pembaikan yang tinggi. Namun penjagaan secara berkala pun tidak akan menghalang berlakunya kerosakan," kata beliau. Katanya kos pembaikan adalah tinggi kerana pada masa kini harga alat gantian dan upah adalah mahal. "Syarikat atau bengkel yang besar mempunyai kos sampingan yang tinggi jadi harga yang mereka kenakan adalah lebih tinggi dibandingkan dengan bengkel atau pusat servis lebih kecil yang akan mengenakan bayaran lebih rendah," kata beliau.

PENJAGAAN RUTIN

Kata Tan lagi, jika tuan punya kenderaan membawa keretanya ke bengkel untuk servis bagi penjagaan rutin, beliau sepatutnya diberitahu tentang alat yang perlu diganti seperti minyak enjin dan lain-lain. "Anda juga perlu diberitahu bahagian mana yang perlu diservis atau berapa kos upah dan alat ganti selain masa yang diperlukan untuk menyiapkan kerja-kerja itu. Tuan punya kereta boleh menganggap kerja yang dijalankan menepati harga dan masa yang ditetapkan," katanya. Kata beliau mekanik dilatih untuk memeriksa apa yang perlu dibaiki. Itulah tugas mereka. Jika mereka nampak hos yang bocor, atau komponen suspensi panduan yang perlu ditukar maka mekanik itu perlu memberitahu tuanpunya kenderaan.

"Mereka akan beritahu apa yang perlu ditukar atau dibaiki. Anda mungkin tidak mahu mendengarnya sebab perkara ini melibatkan kos yang lebih tinggi dari apa yang dijangkakan pada mulanya. "Tetapi itulah hakikatnya, kos penjagaan dan pembaikan kereta adalah sesuatu yang menyakitkan dan tidak dapat dielak oleh pemilik kenderaan. "Apa yang mereka (mekanik) perlu buat adalah memberitahu anda tentang pembaikan yang perlu dijalankan adalah berbeza daripada pembaikan yang disyorkan," katanya.

KEPERLUAN WARANTI

Kadangkala perlu dilakukan pembaikan dengan segera untuk memenuhi keperluan waranti atau jaminan oleh pembuat kenderaan. Dalam buku manual penjagaan kereta, ada tercatat bila palang pencucuh serta minyak enjin dan turas enjin perlu ditukar bagi waranti enjin. Penjagaan awal adalah penting dan lebih murah dari kos membaiki enjin yang rosak kerana tidak mengikut jadual servis. Pembaikan yang disyorkan boleh membantu prestasi kenderaan selain penjimatan minyak. Pembaikan ini boleh ditunda masanya tetapi jika dijalankan ia boleh membantu kenderaan berada dalam keadaan optimum.

0 comments: